Saturday, August 30, 2008

GURU SEBAGAI ROLE-MODEL

Sudah lama tidak mencoretkan kata-kata dalam blog tercinta ni. Sebenarnya bukanlah sibuk. Masa Allah dah bagi 24 jam. Semua insan dapat peruntukan masa yang sama. Tapi bagaimana caranya saya menguruskan masa sejak akhir-akhir ni. Bermula pada awal Ogos, sehingga akhir Ogos banyak perkara penting berlaku. Mungkin bakal menjadi penentu kerjaya saya pada masa akan datang.

Sebenarnya banyak perubahan telah berlaku dalam sistem pendidikan di Malaysia. Antaranya ialah yang terbaru dan masih sedang berjalan adalah PIPP (Pelan Induk Pembangunan Pendidikan) yang telah dilancarkan di bawah RMK ke 9. Pelan ini adalah salah satu usaha penting bagi menjayakan modal insan berminda kelas pertama yang menjadi salah satu agenda dalam prinsip Islam Hadhari. Nah, begitu besarnya impak pendidikan dalam rencana pembinaan negara jika difikirkan semula. Bukan sahaja untuk difikirkan, malah untuk dihayati bersama.

Dan antara perubahan yang dibawa melalui PIPP adalah untuk memperkemaskan syarat pengambilan guru adalah sesuatu yang amat saya setuju. Dan inilah yang bakal-bakal guru atau lebih tepat bakal GSST (termasuk saya) tempuhi awal Ogos lalu. Kami perlu menghadiri temuduga penempatan GSST! Apabila saya bertanyakan pendapat rakan-rakan semasa di SMKHK dahulu mengenai soalan-soalan yang biasanya ditanyakan semasa temuduga, ramai yang terkejut (sebenarnya tidak tahu) mengenai temuduga sebelum penempatan ini. Saya berharap ini merupakan salah satu usaha positif pihak kementarian bagi melahirkan guru yang benar-benar layak menjadi role-model pada generasi muda kini.

Saya amat terkilan dan amat cemas apabila terbaca dua kisah dalam akhbar mengenai tingkah laku segelintir guru yang mengabaikan tanggungjawab ini. Terdahulu, seorang guru berasal daripada Wilayah Persekutuan tertangkap di Terengganu kerana menjalankan aktiviti tidak bermoral bersama pelajar sejenis dengan memaksa dan memberikan upah kepada mereka. Dan yang terkini di Johor, seorang guru lagi ditangkap kerana positif dadah. Dua insiden ini amat memalukan. Maka, tidak hairanlah jika masyarakat kini semakin mempertikaikan kewibawaan guru-guru dalam mendidik anak-anak mereka.

Saya teringat semasa berada di Tapah. Kebiasaannya kami serumah (terdiri daripada 4 orang) akan keluar ke pasar malam pada setiap hujung minggu kerana harga bahan-bahan basah agak murah berbanding di kedai biasa. Para peniaga di sana seakan-akan sudah kenal lama dengan kami, walhal baru tidak sampai sebulan kami menetap di sana. Soalan yang ditanya “Ye, cikgu. Nak beli apa?”. Kami akan berpandangan sesama sendiri, senyum dan bertanya macam mana pakcik kenal kami cikgu. Mereka hanya akan ketawa. Apabila masuk ke dalam kereta kami akan bertanya sesama sendiri “Pelik, macam mana mereka tahu kite ni cikgu? Ada cop ke muka kite ni cikgu”. Memang pelik, tanpa perlu diberitahu, masyarakat selalunya kenal cikgu, mungkin daripada anak-anak mereka, jiran-jiran, mahupun rakan-rakan.

Satu lagi semasa berada di cyber cafe. Disebabkan kemudahan internet di sekolah agak terhad, saya dan rakan serumah kerap mengunjungi cyber cafe di taman kami untuk melayari internet, mencari bahan-bahan pengajaran, check email dan kadang-kadang check friendster! Maklumlah, berpisah dengan rakan-rakan lama, hanya teknologi mampu mengubat kerinduan. Sedang khusyuk surfing, tiba-tiba ada suara menegur “Uisy, cikgu pun main freindster jugak”. Terkedu sekejap, rupa-rupanya anak murid pun selalu masuk CC tu. Tapi kami lagi pandai pusing, “kamu buat apa kat sini Pojan, patutla kerja rumah tak pernah siap. Sini rupanya tempat lepak kamu”. Itu sebenarnya ayat cover. Hakikatnya malu juga bila student perhatikan apa yang saya buat.

Dua cerita saya tadi sudah cukup untuk membuktikan tingkah laku seorang guru amat diperhatikan oleh masyarakat setempat, dan inilah yang menjadikan kehidupan seorang guru lebih mulia. Setiap tindakan yang mahu diambil perlulah berhati-hati agar tidak melanggar sensitiviti setempat, pandai mengambil hati yang lebih tua, bersopan dengan yang muda, berhemah dalam pergaulan, menjadi contoh terbaik buat masyarakat dan menunjukkan akhlak yang indah setiap ketika. Bagi kami, tiada masalah bergaul dengan jiran-jiran setaman walaupun jurang usia kami jauh berbeza. Jiran-jiran amat mengambil berat kehidupan kami berempat di sana, maklmumlah, cikgi-cikgi bujanglah katakan. Dan kami amat menyenangi situasi tersebut.