Tuesday, September 23, 2008

SALAM AIDILFITRI

More AIDILFITRI graphics

Tuesday, September 23, 2008

AIDILFITRI-KEMBALILAH KEPADA FITRAH

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI kepada semua sahabat yang pernah menemani diri ini sepanjang perjalanan hidup saya. Mohon maaf atas segala keterlanjuran bahasa dan tingkah laku yang telah membekaskan luka di hati sahabat2. Halalkan makan dan minum saya, jika ada hutang saya dengan sahabat2 jangan la malu2 mintak ye.

Aidilfitri merupakan hari kemenangan buat umat Islam setelah sebulan menahan hawa nafsu. Juga merupakan manifestasi daripada kemenangan kita yang berjaya mengubah diri ke arah yang lebih berkualiti setelah diberi bonus yang banyak oleh Allah Taala untuk beribadah dan memuhasabah diri selama sebulan Ramadhan. Ibarat besi yang panas terbakar, Ramadhan membakar semangat dan spritual kita untuk melakukan perubahan mengikut acuan yang kita mahukan berlandaskan kefahaman dan penghayatan kita terhadap ajaran Islam yang sebenar. Semoga titik perubahan yang kita lakukan ini akan membawa makna yang besar buat diri kita bagi meneruskan perjuangan Islam yang telah dirintis oleh Para Anbiya' dan Para sahabat baginda. Kita hanya perlu meneruskan perjuangan ini berbekalkan iman dan keyakinan bahawa kemenangan Islam itu semakin hampir. Semoga semangat Badar Al-Kubra meresap ke dalam nadi setiap pejuang agamaNya yang rindukan syahid. Hidup mulia mati syahid. "Ya Allah aku mahu mati sebagai orang yang berjuang."

Saya akan pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga di Felda Keratong. Dek kerana tidak membeli tiket lebih awal terpaksalah saya bertukar 3buah bas KL-Seremban, Seremban-Bahau, Bahau-Keratong. Perjalanan yang panjang mungkin memakan masa sehari suntuk. Di samping itu, bolehlah saya buat survey, yang mana lebih jimat naik bas ekspres yang telah dinaikkan surcajnya sebanyak 30 peratus berbanding naik bas lompat2 macam ni. (Teringat keluhan rakan2 terutamanya yang ingin pulang beraya mengenai kenaikan harga tiket bas yang tentunya membebankan kehidupan mereka sebagai pelajar). Semoga Allah mempermudahkan urusan saya. Mujurlah kak Fatimah, kakak seperjuangan merangkap isteri majikan saya sekarang memahami dan membenarkan saya pulang lebih awal. Jadi pada hari Khamis ni akan berangkatlah saya untuk pulang ke desa yang dirindui.

Buat sahabat handai yang berkelapangan jemputlah singgah ke teratak buruk saya di Felda Keratong untuk berkongsi kesyukuran meraikan Syawal bersama. Semoga Allah panjangkan usia saya dan sahabat2 untuk bertemu lagi dengan Ramadhan akan datang. Amin Ya Allah..

Monday, September 15, 2008

LAILATUL QADAR


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Thursday, September 11, 2008

Elak Marah Semasa Puasa


I’JAZ MENEGAH ORANG YANG BERPUASA DARIPADA MARAH?

Perasaan marah adalah lumrah dalam kehidupan seorang manusia. Seseorang akan berasa marah sekiranya sesuatu keadaan berlaku tidak seperti yang diharapkan atau dijangkakan. Terdapat pelbagai reaksi fizikal yang berlaku ketika marah yang berbeza bergantung kepada individu. Reaksi fizikal yang saya katakan tadi boleh jadi dengan menangis, perubahan air muka secara mendadak, muka menjadi merah, berdebar-debar atau lebih teruk lagi perasaan marah boleh memandu emosi kita terhadap perbalahan. Semua ini berlaku lantaran perubahan hormon yang berlaku akibat rasa marah tersebut.

Untuk entri kali ini saya suka untuk berkongsi maklumat dengan pembaca sekalian mengenai alasan mengapa Rasulullah SAW amat menekankan terhadap mereka yang berpuasa supaya menahan daripada punca-punca kemarahan dan perbalahan sebagaimana yang disebutkan dalam hadis baginda daripada Abi Hurairah yang bermaksud “ Apabila hari puasa seseorang di kalangan kamu, maka janganlah dia bercakap lucah, janganlah dia menjerit-jerit. Jika seseorang memaki atau menyerangnya maka hendaklah dia berkata : Aku berpuasa”. Di sini saya petik sebuah hujah saintifik mengapa orang-orang yang berpuasa ditegah daripada marah, berkata-kata lucah dan mendekati punca perbalahan daripada sebuah buku yang bertajuk “PUASA Hukum dan Hikmah Menurut Islam dan Fakta Sains Moden” karangan As-Syeikh Abdul Majid Az-Zidani Hafazahullah terbitan Teguh Iman Resources.

Kajian saintifik mendapati bahawa orang-orang yang berpuasa sekiranya diselubungi kemarahan lalu dia bereaksi dengan penuh ketegangan akan meningkatkan perembesan hormon-hormon adrenalina di dalam darah dengan pertambahan yang besar iaitu mencecah 20-30 kali ganda lebih daripada kadar normal. Sekiranya ini berlaku pada waktu pagi iaitu ketika proses penghadaman makanan sedang berlaku (selepas bersahur), maka sistem penghadaman makanan akan terganggu.

Ini adalah kerana adrenalina bekerja untuk merehatkan otot-otot licin di dalam sistem penghadaman, mengurangkan pengecutan hempedu serta berfungsi untuk menyempitkan saluran darah periferal dan meluaskan saluran darah koronari. Pertambahan hormin ini akan menaikkan tekanan arteri darah dan menambahkan kuantiti darah ke jantung serta menambahkan bilangan degupan jantung. Oleh sebab itu, orang yang sedang marah degupan jantungnya akan menjadi lebih kencang dan kadangkala muka akan menjadi kemerahan.

Sekiranya berlaku perbalahan atau perasaan marah pada waktu tengah hari ke atas iaitu pada jangka masa proses penyerapan makan sedang berlaku, maka simpanan glikogen di dalam hati akan terurai dan protein tubuh akan terurai menjadi asid amino serta asid-asid lemak akan lebih banyak teroksida. Semua itu akan meningkatkan tahap glukosa dalam darah, lalu ia akan terbakar untuk membekalkan tubuh dengan tenaga yang akan digunakan dalam perbalahan atau pertengkaran.

Dengan ini, tenaga akan digunakan tanpa kawalan dan sebahagian glukosa akan hilang sebagai air kencing lebih daripada kadar biasa. Kesan daripada itu, tubuh akan kehilangan sejumlah tenaga aktif yang penting tanpa sebarang faedah yang boleh digunakan semula oleh tubuh. Pengoksidaan asid lemak yang banyak juga berkebarangkalian akan menghasilkan jisim-jisim keton yang berbahaya pada darah.

Kesan daripada pertambahan hormon adrenalina yang melampau di dalam darah adalah seperti berikut :




  • Keluarnya jumlah air yang banyak daripada tubuh melalui penghasilan air kencing sedangkan tubuh memerlukan sejumlah air yang cukup lantaran kita sedang berpuasa.


  • Meningkatkan tahap metabolisme asas ketika marah hasil daripada peningkatan hormon adrenalina dan pengerasan otot.


  • Boleh menyebabkan kegagalan jantung atau mati mengejut pada sesetengah individu yang berkebarangkalian untuk itu.


  • Boleh mengakibatkan kegagalan otak pada mereka yang menghidap tekanan darah dan pengerasan arteri.


  • Menambah pembentukan kolestrol daripadaa protein lemak berketepuan rendah.

Oleh itu, adalah lebih baik kita menjauhi daripada punca-punca kemarahan dan perbalahan yang secara jelas boleh mengundang padah kepada kesihatan tubuh badan kita sendiri. Apalah salahnya kita menambahkan membaca Al-Quran dan berzikir bagi mengelakkan diri terjerumus dalam pertengkaran yang hanya merugikan. Sesungguhnya Ramadhan adalah madrasah tarbiyyah yang ampuh buat orang-orang yang sentiasa menanti-nanti kehadirannya dan menghayati suruhan Allah ini.

Tuesday, September 02, 2008

SAAT YANG PASTI


BILA WAKTU TELAH BERAKHIR-OPICK-

BAGAIMANA KAU MERASA BANGGA
AKAN DUNIA YANG SEMENTARA
BAGAIMANAKAH BILA SEMUA
HILANG DAN PERGI MENINGGALKAN DIRIMU

BAGAIMANAKAH BILA SAATNYA
WAKTU TERHENTI TAK KAU SEDARI
MASIHKAH ADA JALAN BAGIMU
UNTUK KEMBALI MENGULANGKAN MASA LALU

DUNIA DIPENUHI DENGAN HIASAN
SEMUA DAN SEGALA YANG ADA
AKAN KEMBALI KEPADANYA

BILA WAKTU TELAH MEMANGGIL
TEMAN SEJATI HANYALAH AMAL
BILA WAKTU TELAH TERHENTI
TEMAN SEJATI TINGGALLAH SEPI

Sayu hati bila menghayati bait-bait lirik lagu nyanyian OPICK ini. Saya benar-benar tersentuh, tatkala pertama kali mendengar lagu ini secara tak sengaja dalam sebuah drama melayu. Betul-betul mengingatkan kepada kematian yang bakal menjemput semua yang bergelar makhluk Allah. Dan kerana manusia dikurniakan akal fikiran, maka dimestikan untuk kita mengingat kematian sebagai salah satu cara untuk mengekalkan dan meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah, Tuhan Yang Maha Berkuasa di atas segala sesuatu.

Kehilangan demi kehilangan berlaku dalam kehidupan kita. Segalanya adalah sebagai peringatan buat kita yang masih hidup supaya terus beribadah kepadaNya, melakukan cukup persediaan agar kita pulang ke pangkuanNya dengan husnul khatimah.

Dua tahun ini menyaksikan kehilangan insan-insan yang amat rapat dengan saya dan membuatkan hati sentiasa teringatkan mereka. Bermula dengan pemergian arwah Pak Su, bapa saudara saya yang meninggal dalam usia yang cukup muda (24 tahun) pada akhir tahun lepas. Allahyarham yang merupakan teman sepermainan saya semasa kecil kerana jarak usia yang tidak banyak beza. Tiada jurang usia antara kami, tetapi Allah memanggilnya terlebih dahulu.

Kemudian arwah nenek pula menyusul pada bulan Mac yang lalu, betul-betul malam semasa rakyat Malaysia sibuk menunggu keputusan pilihanraya umum yang lepas. Hati saya lagi ralat kerana seminggu sebelum itu, saya pernah berjanji akan menjaganya selepas pilihanraya (kebetulan waktu cuti sekolah). Saya sangat rapat dengan arwah nenek kerana pernah tinggal selama setahun dengan arwah semasa sekolah rendah dahulu. Beliaulah yang tak pernah jemu mengejutkan saya bangun awal pagi untuk ke sekolah, menyediakan air mandiam suam sebab saya takut nak mandi pagi dulu, dek kedinginan air perigi. Begitulah pengorbanan nenek. Sekarang segalanya hanya jadi kenangan manis saya diiringi doa agar Allah sentiasa merahmati arwah nenek.

Terakhir adalah pada 9 Jun lalu, kehilangan adik seusrah, Allahyarham Suhaimi.. Kehilangan yang masih terasa hingga kini..selepas kehilangan barulah terasa mahu menghargai..begitulah yang selalu terjadi dalam kehidupan kita. Saya berharap agar kita tidak akan menyesal dengan kehilangan masa-masa sihat yang Allah kurniakan buat kita untuk kita hargai dan manfaatkan sepenuhnya.

Selamat berpuasa buat semua teman-teman. Semoga Ramadhan ini bakal menyucikan diri kita jasmani dan rohani supaya perjalanan hidup kita yang bakal mendatang lebih baik daripada sebelumnya. Al-fatihah buat mereka..AL-FATIHAH

Tuesday, September 02, 2008

ANALOGI

Mengajar Sains kelas terakhir yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar yang baru tamat mengikuti kelas pemulihan bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi dasar kini yang mewajibkan PPSMI membuatkan otak saya sentiasa berfikir bagaimanakah teknik pengajaran yang berkesan bagi membuatkan para pelajar faham dan dapat menggunakan ilmu tersebut dalam kehidupan seharian mereka.

Saya tidak pasti sama ada ramai yang bersetuju ataupun tidak. Tetapi ini hanyalah luahan hati saya dengan pengalaman mengajar yang tidak seberapa. Pelajar lelaki Cina di kelas saya agak sukar untuk dikawal. Kadangkala rasa patah hati timbul lantaran teguran dan nasihat saya hanya dipersampahkan. Kelas yang saya ingin ceritakan ini, hanya ada dua orang pelajar lelaki Cina, namun sudah cukup untuk buat tekak saya meronta-ronta kepedihan setiap kali kelas berakhir, terutamanya apabila berlangsung sesi amali (makmal). Nama mereka hampir-hampir sama, Lee Kuan Siang dan Lee Hao Yan.

SELAMAT PAGI CIKGU-SUKAR DIUNGKAP

Walaupun mereka agak ketegak (dialek kedah) tapi kesungguhan dan minat mereka untuk belajar boleh saya puji. Bolehlah diranking kerajinan mereka di kelas yang kedua selepas pelajar perempuan asli di dalam kelas tersebut. Lee Kuan Siang umpamanya tidak pernah tidak menyiapkan kerja rumah dan menyiapkan nota. Bila tiba waktu amali dia sangat berminat untuk menjalankan aktiviti walaupun tidak tahu apa benda yang mereka nak buat. Cuma pada awalnya saya kurang menyenangi adab mereka apabila bertemu dengan guru-guru. Kadang-kadang buat tak nampak sahaja, apatah lagi mahu menyapa. Saya pernah menegur mereka berdua dengan baik. Alhamdulillah selepas itu, setiap kali bertembung di tengah jalan, Lee Hao Yan terutamanya akan menundukkan sedikit kepala tanda hormat dan menyapa “Selamat Pagi Cikgu”. Itpun sudah cukup untuk melembutkan hati saya.

Yang sedikit bermasalah adalah Lee Kuan Siang. Sebenarnya bukanlah bermasalah besar, cuma sikapnya yang suka mengganggu ketenteraman rakan-rakan yang lain dengan dialek Cinanya yang kurang difahami kadangkala boleh menimbulkan pertikaman lidah antara mereka. Maklumlah, pelajar tingkatan satu. Agak kebudak-budakan.


ANALOGI TIMBUL SECARA SPONTAN

Pada hari itu, saya agak sibuk menanda kertas PEKA. Jadi persediaan saya agak kurang untuk mengajar tajuk Matter. Selalunya saya akan gunakan slide powerpoint sebagai alat bantu mengajar pada waktu kecederaan seperti ini, tetapi kebetulan pula kelas mereka baru ditukarkan ke lokasi yang agak jauh daripada makmal membuatkan saya berfikir dua kali untuk mengarahkan mereka ke makmal. Mesti memakan masa yang agak lama. Jadi, pada hari tersebut saya hanya mengajar di adalam kelas, menggunakan kaedah tradisional. Marker dan whiteboard.

Selalunya, untuk mententeramkan kelas itu, saya akan menulis atau melukis nota di papan putih, biarkan mereka menyalin nota dan kelas akan sunyi seketika kerana mereka ada kerja yang perlu disiapkan. Jadi, tidak perlulah saya membazirkan suara saya menjerit meminta mereka diam. Sementara itu, sempat jugalah saya menghabiskan kerja-kerja menanda PEKA. Taktik tersebut saya dapat kesan setelah beberapa kali mengajar kelas itu. Walaupun gaya pengajaran tersebut lebih berpusatkan guru, saya puas hati kerana mereka akan mendengar arahan saya dengan jelas dan baik.

Setelah beberapa minit memberikan masa untuk menyalin nota, maka saya pun mulakanlah penerangan saya mengenai Matter. Bermula dengan definition of matter, seterusnya memberikan pelbagai contoh agar mereka lebih faham bagaimana dikatakan jirim terdiri daripada zarah-zarah yang halus serta terpisah (tiny and discrete particles) dan jirim mempunyai jisim (matter has mass). Kemudian, mulalah penerangan saya mengenai jirim boleh berada dalam tiga keadaan iaitu pepejal, cecair dan gas (solid, liquid and gas). Seperti biasalah, untuk kelas-kelas seperti ini saya perlu memberi penerangan berulang-ulang kali agar mereka lebih memahami. Bermula dengan penerangan dalam bahasa Inggeris diikuti pula dengan penerangan dalam Bahasa Melayu.

Memandangkan muka mereka yang blur tapi buat-buat faham tersebut membuatkan saya terasa kesian bercampur rasa lucu. Agaknya macam nilah dulu sewaktu saya jadi pelajar. Apabila cikgu tanya faham ke tak, dengan cepat jawab FAHAM, hakikatnya dalam otak masih bersimpang siur. Bila balik asrama mulalah berfikir macam manalah nak faham balik apa yang cikgu ajar.. untung ada rakan-rakan yang banyak membantu. Tiba-tiba timbul idea spontan untuk membuat analogi bagi membantu mereka agar lebih faham. Faktanya mudah sahaja, nak bagi mereka ingat yang perbezaan bentuk fizikal pepejal, cecair dan gas adalah disebabkan perbezaan susunan zarah di dalamnya.

TERKENA

Susunan zarah pepejal yang rapat antara satu sama lain akibat daya tarikan antara zarah yang kuat menyebabkan pepejal mempunyai rupa bentuk yang tetap, tidak mudah berubah. Saya pun buatlah cerita, kalaulah kamu sekelas berkerjasama, saling bantu membantu antara satu sama lain serta berusaha bersama-sama sudah tentu kamu akan jadi sekuat pepejal. Tidak mudah diperkotak katikkan oleh orang lain. Tapi alangkah malangnya jika ahli kelas kamu jadi selemah zarah cecair (liquid) atau lebih teruk zarah gas kerana akibat daripada tidak berkerjasama dan tidak saling bantu membantu, mereka tidak mempunyai bentuk yang tetap, suka mengikut bentuk bekas yang mengisi mereka. Jadilah seperti orang yang tidak kuat pendirian, suka mengikut orang lain. Jika orang lain buat jahat, kita pun ikut sama nak buat jahat. Begitulah syarahan saya yang cukup pedas terasa jika ada yang makan cilinya. Memang saya tujukan buat beberapa pelajar yang agak bermasalah kerana suka bercampur dengan rakan-rakan yang bermasalah.

Nampaknya teknik ini berkesan, mereka dah mula ingat perbezaan susunan zarah dalam pepejal, cecair dan gas serta mengaitkannya dengan bentuk fizikal. Jadi sebelum kelas berakhir, saya cuba menguji semula adakah mereka ingat lagi fakta tadi. Nampaknya cerita itu melekat dalam fikiran mereka. Tapi ada suatu hal yang tak saya duga, bila saya buat kesimpulan..saya bertanya..kamu mesti jadi macam?...mereka jawab solid..tapi jangan jadi macam?...mereka pun jawab Lee Kuan Siang. Terpinga-pinga Lee Kuan Siang mendengar namanya disebut. Alahai dia terkena rupanya. Bukan niat saya pun nak mengenakan dia.

Tuesday, September 02, 2008

MUBAHALAH SAIFUL BUKHARI 15 OGOS 2008

“Bismillahirrahmanirrahim,Wallahi,Wabillahi,Watallahi.Saya bersumpah bahawa saya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 jun 2008 iaitu pada tarikh tersebut, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan……………”“Jika saya berdusta atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap Allah s.w.t dan saya sanggup menerima azab, dilaknat dan kutukan daripada Allah s.w.t sehingga ke hari kiamat.”


Beliau mengucapkan kalimah syahadah sebanyak 3 kali dan diikuti bacaan surah alfatihah. Negara gempar dengan keberanian bermubahalah oleh Saiful Bukhari,pelbagai komen,pandangan daripada rakyat yang mengikuti kes ini khasnya.Ikrar sumpah ini dijalankan sehari sebelum penamaan calon di Permatang Pauh setelah kes liwat ini agak lama menyepi di media-media, dan kembali gempar dengan sumpah ini pada waktu2 sebegini…..


Berikut adalah temubual wartawan Sinar Harian bersama Saiful Bukhari:


W: Ke mana hilang selama ini?

S: Saya bukan menghilangkan diri tetapi mendiamkan diri untuk mengumpul kekuatan kerana saya telah difitnah dan ditohmah, terutama sekali oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.Jadi itulah alasan saya.


W: Kenapa pilih hari ini dan di Masjid Wilayah Persekutuan?

S: Saya memerlukan kekuatan mental dan rohani kerana bersumpah bukan mudah dan dibuat suka-suka kerana akibat akan dilaknat oleh Allah s.w.t.Alhamdulillah, Allah s.w.t telah memberikan saya kekuatan dan saya bersumpah pada hari ini


W: Ada yang kata lebih daripada sekali(diliwat)?

S : Itu saya akan beri keterangan di mahkamah


W: Betul kamu buat pemeriksaan di Pusrawi?

S: Itu saya akan beri keterangan di mahkamah


W: Kenapa pada mulanya kamu pergi ke Hospital Pusrawi?

S : Itu saya akan beri keterangan di mahkamah


W: Tapi betul Saiful pergi ke Pusrawi hari itu?

S : Keterangan di mahkamah.Saya akan bagi keterangan.


W: Besok penamaan calon, kenapa hari ini……Saya harap kamu faham

S: Secara kebetulan sahaja. Kalau nak ikutkan kita pun tak tahu Anwar akan bertanding.Laporan saya itu pun pada 28 Jun, kita tidak tahu dia akan bertanding bila.Tetapi saya ingin tegaskan di sini, saya memerlukan kekuatan dan alhamdulillah Allah s.w.t. memberikan saya kekuatan untuk mengadakan sumpah hari ini.Dan hari ini hari jumaat, hari yang sangat dirahmati Allah s.w.t


Sebahagian temubual dengan Saiful Bukhari.


Para pembaca boleh menilainya dan yang mendengarnya secara langsung lebih mampu untuk menilainya…Dr.Asri menyifatkan tindakan Saiful Bukhari mengangkat sumpah mengikut syariat Islam mempunyai risiko yang teramat besar dan bukan mudah bagi seseorang melafazkan sumpah mubahalah itu melainkan dia dalam keadaan tidak siuman ataupun dia sedar apa yang diyakini itu adalah benar.‘


Tindakan Mohd Saiful itu akan menimbulkan kesangsian pihak yang dicabar(DSAI) dan bagi menghilangkan keraguan masyarakat, maka Anwar perlu juga melafazkan sumpah mubahalah dengan bentuk yang sama. Maka jadilah mubahalah yang mana kita akan lihat hukuman Tuhan nanti.’..Keberanian dan kesanggupan Saiful Bukhari amat dikagumi……


...juga digeruni….Wallahu’alambissawab...Semoga Allah menunjukkan kebenaran,meyungkurkan kebatilan...Allah Maha Mengetahui dan Maha Adil....


Teringat masa belajar PQS masa sekolah menengah dulu. Gerun bila ustazah Rozita ceritakan bahawa bermacam bentuk laknat yang Allah boleh turunkan sekiranya pengakuan yang dibuat adalah palsu. Nauzubillah, semoga dijauhi daripada azab Allah..