Friday, June 19, 2009

KITALAH GURU-GURU ITU


“ Kamu semua orang Islam bukan ?” Cikgu Fauzi bertanya sebaik masuk ke kelas Tiga Hijau pagi itu. Kebetulan dua orang rakan sekelas berketurunan India masih belum selesai dari mengikuti matapelajaran Moral di kelas sebelah.

“ Ya, Cikgu,” saya dan rakan-rakan menjawab serentak. Pandangan kami tepat ke wajah Cikgu Fauzi yang tersenyum mendengar jawapan tadi.

“ Baik, kalau betul kamu orang Islam saya mahu tengok kamu jadi orang Islam setiap hari, bukan Islam pada hari Jumaat sahaja,” tegas Cikgu Fauzi sambil memandang muka kami silih berganti.

“Murid lelaki berseluar panjang, manakala murid perempuan berbaju kurung dan bertudung kepala. Itu baru betul ikut ajaran agama. Yang lelaki Nampak lebih tampan, yang perempuan pula bertambah ayu dan lebih sopan,“ kata Cikgu Fauzi mengumpan. Kami yang mendengar tersenyum malu-malu melihat masing-masing hanya berseluar pendek bagi lelaki, sementara perempuan pula hanya memakai ‘pinafore’ biru. Bila tiba hari Jumaat baru kami mengenakan pakaian menutup aurat.


KENANGAN LALU


Peristiwa itu telah dua puluh lima tahun berlalu. Namun didikannya masih saya ingat hingga hari ini. Walaupun Cikgu Fauzi seorang guru biasa, tetapi ketegasan beliau mendidik kami mengamalkan ajaran agama sangat memberi kesan kepada jiwa.

Pada zaman awal-awal lapan puluhan, kesedaran beragama masih baru menjalar dalam masyarakat di tempat saya. Kerana itu, bilangan murid-murid sekolah rendah yang memakai baju kurung dan bertudung kepala sepanjang hari-hari persekolahan sangat sedikit. Orang kata, boleh dibilang dengan jari. Ditambah pula momokan akhbar arus perdana dengan kemunculan ‘hantu komkom’ ketika itu, menjadikan suasana untuk mengamalkan pakaian syariat ini tidak begitu mesra dan melata.

Walaupun demikian, Cikgu Fauzi tidak pernah menjadikan suasana begitu sebagai alasan untuk tidak mengajak kami kepada kebaikan. Kesannya, hampir seluruh murid-murid perempuan di kelas saya mula memakai baju kurung lengkap menutup kepala bila naik ke tahun Empat Hijau berikutnya. Kami bangga melakukan itu, kerana Cikgu Fauzi sentiasa mengingatkan kami bahawa kami mulia kerana mengamalkan ajaran agama.


GAJI vs AMANAH


Akan tetapi realiti hari ini amat jauh berbeza. Bukan sahaja tidak ramai guru-guru bukan dari aliran agama yang mahu membawa suasana beragama di dalam pengajaran mereka, malah ada sebahagian guru-guru agama sendiri yang tidak bersungguh-sungguh menjadikan kerjaya guru sebagai ibadah yang boleh melimpahkan pahala berganda. Telah tandus minat dan keinginan, semakin melebar pula jurang dakwah untuk menyeru kepada kebaikan.

“ Ah, budak-budak tu nak pandai ke tidak, terpulang pada mereka. Aku tahu cukup bulan gaji masuk,“ luah seorang guru dengan nada geram. Marah barangkali dengan gelagat anak murid yang tidak tahu hormat kepada guru yang lebih dulu makan garam.

Saya akur sukarnya menjadi guru di zaman serba material ini. Bukan sekadar mengajar subjek-subjek yang telah ditentukan, tapi ada banyak senarai tugasan sampingan lain yang juga perlu dilangsaikan. Itu belum lagi dikira jumlah mesyuarat dan kursus-kursus yang perlu dihadiri. Mengenang itu semua, saya ikut emosi dan simpati.

Kerana itu, Allah SWT berfirman di dalam al Quran tentang nasihat Luqman al Hakim kepada anaknya yang bermaksud :

“Wahai anakku! Dirikanlah Solat (sembahyang), dan suruhlah berbuat baik serta cegahlah kemungkaran dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpa kamu, sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya”. (Surah Luqman : Ayat 17)

Merenung ayat di atas, terlihat betapa besar peranan seorang guru terhadap perkembangan fizikal dan spiritual anak didik demi melahirkan generasi yang berkualiti dari segala segi. Mereka berperanan mendekatkan para pelajar kepada Yang Maha Mencipta dengan mengajar pengetahuan baik berupa fardhu ain mahu pun fardhu kifayah agar terserlah kebesaran dan kekuasaan Allah. Baik guru biasa mahu pun guru agama, mereka perlu berkerja dengan serampang dua mata. Memberi ilmu dan dalam masa yang sama menyuntik sedar tentang tanggungjawab anak didik sebagai manusia yang mempunyai Tuhan. Menyemai jiwa kehambaan.

Guru yang baik bukan mendambakan wang gaji sebagai ganjaran penat dan payah semata-mata, tetapi kesedaran untuk berperanan sebagai pendidik dan pemandu arah yang boleh dicontohi dan diikuti oleh anak didik. Walau banyak rintangan yang mungkin menahan dalam usahanya mengajak kebaikan dan mencegah kemungkaran, semua itu perlu dihadapi dengan tabah serta mengharapkan keredhaan Allah.

Tiada ganjaran yang lebih baik selain pengiktirafan dari Allah SWT terhadap golongan pendidik yang mengajar kebaikan, menuntun kepada mentaati dan mengagungkan Allah serta ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab dan peranan. Allah SWT menegaskan menerusi firmanNya yang bermaksud :

“ Dan tidak ada yang lebih baik perkatannnya daripada orang yang menyeru kepada ( mengesa dan mematuhi perintah ) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, seraya berkata : Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam ( yang berserah kepada Allah) “.

( Surah al Fussilat ayat 33 )


KISAH DAUN


“ Baik, murid-murid. Siapa boleh beritahu Cikgu, apakah warna daun pokok ?” tanya seorang guru kepada anak muridnya.

“ Warna hijau Cikgu,” kata anak murid di hadapan.

“Warna merah pun ada Cikgu,” jawab pula murid di sebelah kiri.

“ Bukan merah je, warna kuning dan coklat pun banyak, Cikgu “ tambah anak murid yang duduk di bahagian belakang sekali.

“ isyh isyh, salah tu, mana ada daun warna coklat, kuning dan merah,” bidas Cikgu sambil disambut gelak ketawa teman-teman sedarjah. Anak murid yang menjawab berkerut dahi tertanya-tanya siapa benar dan siapa yang salah.

Murid di sebelah kiri pernah duduk di negara terbitnya Matahari. Bukan sekadar pernah melihat, fotonya berlatarkan daun merah juga masih ada sebagai bukti. Manakala murid yang duduk di sebelah belakang pula menjawab demikian kerana itulah warna-warna daun kala musim luruh di United Kingdom.

Seorang guru yang alim dan berilmu pengetahuan tidak akan cepat membuat keputusan sebelum meneliti segala kemungkinan. Alangkah elok lagi wajar jika guru terlebih dulu mendapatkan penjelasan dari jawapan yang diberikan. Seorang guru yang cepat melatah, pasti akan merah wajah bila kebenaran ternyata sudah. Malu kerana berbuat salah dek takut menyatakan yang benar!


LUAS PENGALAMAN, BERTAMBAH PENGETAHUAN


Ilmu dan pengetahuan adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan dari diri seorang guru. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :

”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.”
(Riwayat al-Bazzar)

Seorang guru yang baik akan menjadikan dirinya tergolong dalam mana-mana kumpulan yang disebut oleh Nabi sebagaimana hadis di atas, iaitu menjadikan dirinya orang alim (berilmu) yang mengajarkan ilmunya kepada orang lain, menjadi orang yang belajar (menuntut ilmu), mendengar atau mengikuti majlis-majlis ilmu dan menghormati atau mencintai salah satu atau ketiga-tiga golongan di atas dengan menurut jejak langkah mereka KECUALI golongan kelima iaitu kumpulan yang digelar sebagai ‘bodoh sombong’. Tahu bahawa diri tidak tahu, tetapi pura-pura tahu dan tidak mahu menambah ilmu.

Amat bahaya seorang guru yang mengajar tanpa ilmu, sekadar buat-buat tahu kerana malu untuk mengaku. Dia akan membawa pelajar ke lorong yang salah kerana tidak tahu arah simpang yang benar. Jadilah dia sesat dan menyesatkan orang lain pula. Justeru, luaskan pengalaman dengan banyak membaca, bertanya dan belajar. Pasti akan bertambah pengetahuan dan seterusnya apa sahaja perkataan akan menjadi bekalan buat anak didik meneruskan kehidupan.


KITALAH GURU-GURU ITU


Walau siapa pun kita, sedar atau tidak kita juga merupakan guru tidak langsung kepada diri dan mereka yang berada di sekitar kita. Seorang suami adalah guru kepada isterinya. Seorang ibu pula merupakan guru kepada anak-anak, cahaya matanya. Begitulah seterusnya, semua berperanan sebagai pendidik untuk diri dan orang-orang yang disayangi.

Bagi saya, tiada guru yang lebih layak dijadikan contoh selain guru bernama Muhammad Bin Abdullah, Rasulullah Junjungan tercinta serta para sahabat dan sahabiah di zaman Baginda. Pada mereka terhimpun segala tauladan terbaik untuk menjadi guru yang cemerlang walau apa pun peranan yang dimainkan. Baik sebagai anak, suami, isteri, ayah, ibu, kakak, abang, adik dan lain-lain lagi.

Kitalah guru-guru itu...menongkah arus melawan fitnah,

Mendidik generasi mentaati Allah dan Rasulullah,

Jangan salah didik, jangan silap asuh,

Kelak murka Allah tak mampu kita tempuh.


Bottom of FormSematkan sabda junjungan ini sebagai pegangan dan ingatan , maksudnya:

“Setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu akan ditanya berkaitan dengan tanggungjawabnya”. (Hadis Riwayat Al-Bukhari)


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

18 JamadilAwwal 1430

13 Mei 2009

http://ummuhusna99.blogspot.com/2009/05/kitalah-guru-guru-itu.html