Wednesday, November 26, 2008

Futuristik dalam perjuangan Islam


Baru-baru ini saya sempat menghadiri satu program tarbiyyah di Negeri Sembilan. Dalam sesi penggulungan program, terdapat seruan agar ahli gerakan bersikap futuristik dalam rangka mempercepatkan kemenangan Islam khususnya di Malaysia. Saya memahami akan kepentingan bersikap futuristik ini kerana ia merupakan pemangkin yang bersifat membina dalam usaha melahirkan ahli gerakan Islam yang berjiwa besar, berdaya juang tinggi dan tidak mudah gentar bahkan tidak mudah putus asa dalam menghadapi rintangan dan cabaran dalam perjuangan Islam. Tulisan ini hanya merupakan analisis peribadi dan pandangan saya mengenai futuristik dalam perjuangan Islam.

Saya berpandangan bahawa futuristik mestilah didatangkan melalui ilmu. Kita kembali sebentar kepada matlamat perjuangan yang didokong oleh setiap yang bergelar ahli gerakan Islam iaitu untuk menegakkan kebenaran dan keadilan bagi mencapai mardhatillah (keredhaan Allah). Dan sebagai manusia kita dilahirkan dengan membawa 2 misi iaitu sebagai khalifah dan hamba yang tidak boleh ditinggalkan salah satu daripadanya. Maka terwujudlah satu tertib yang perlu diikuti dalam melaksanakn kedua-dua misi ini iaitu bermula dengan membina peribadi (individu) muslim diikuti dengan keluarga muslim, masyarakat muslim, daulah Islamiyah dan akhirnya khilafah Islamiyah. Maka di sinilah perlunya kepada ilmu.

Dengan ilmu, manusia akan memahami visi dan misi dilahirkan sebagai seorang muslim dan lebih spesifik lagi sebagai insan yang ditarbiyyah sebagai pejuang Islam. Dengan ilmu juga manusia akan bersikap futuristik dalam upaya menjadikan kejayaan orang lain sebagai contoh ikutan, mengukuhkan strategi ke arah kemenangan, seandainya usaha selari dengan doa InsyaAllah kita akan dapat mengecap kemenangan. Dan dengan ilmu jualah kita akan istiqamah di atas jalan pada Duat yang tidak sedikit ujian dan rintangan yang bakal ditempuh.

Akan tetapi, sebagai manusia kita harus ingat bahawa segala sesuatu mestilah berlaku mengikut aturan dan ketertibannya. Firman Allah Taala dalam surah Yunus ayat 3 yang bermaksud :
“Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam hari. Kemudian Dia bersemayam di atas Arasy mentadbirkan segala urusan. Tidak ada sesiapapun yang dapat memberi syafaat melainkan sesudah diizinkanNya...(hingga akhir ayat)”

Mengapa perlu ada enam hari sedangkan Allah Taala Maha Berkuasa menjadikan langit dan bumi dalam sekelip mata? (Jadilah maka terjadilah). Tetapi Allah berfirman dalam Al-Quran enam hari (bukan seperti ukuran waktu sekarang kerana pada masa itu langit dan bumi belum tercipta, maka tiada putaran bumi mengelilingi matahari. Hanya Allah Yang Mengetahui). Hal ini tidak lain dan tidak bukan adalah supaya manusia mengambil iktibar.

Sebarang pekerjaan yang kita lakukan di dunia ini ada tempoh masa tertentu. Adakala hasilnya boleh dilihat dalam masa sehari, seminggu, sebulan, setahun malahan selepas habis usia barulah orang lain dapat mengecapi hasil daripada usaha kita. Selagi pekerjaan yang kita lakukan tidak mencapai matlamat yang dikehendaki, selagi itulah sebagai manusia kita harus berusaha tanpa jemu dengan penuh tekun dan sabar.

Tidak salah untuk menyeru anak-anak usrah, sahabat sahabiah, ahli2 gerakan sekalian supaya bersikap futuristik kerana ternyata ia merupakan salah satu cara untuk menyemarakkan api perjuangan, namun haruslah diimbangi dengan kefahaman mengenai elemen tadaruj(berperingkat-peringkat) dalam pekerjaan. Seperti dalam kelas, contohnya ada beberapa peringkat dalam menjana kefahaman pelajar bermula dengan fasa engaging, empowering, enhancing dan disudahi dengan closure. Barulah lengkap satu sesi pengajaran dan para pelajar tidak mungkin akan lost kalau mereka menghayati dan mengikuti ke empat2 peringkat ini kecualilah jika mereka tidur dalam kelas. Ini cuma sebagai contoh yang mudah bersangkutan mengenai dunia pendidikan. Mengikut peringkat ini adalah perlu supaya sikap isti’jal (gopoh) dalam melakukan pekerjaan dapat dielakkan. Jangan kerana futuristik, kita mengabaikan gradualiti dalam melaksanakan misi besar kita sebagai khalifah dan hamba.