Wednesday, November 12, 2008

Hari Pertamaku

“Kita nak jadi cikgu, bukan nak kerja sebagai cikgu”. Kata-kata tersebut mengakhiri pertemuan bakal2 guru yang baru mendapat penempatan di bumi Pahang tercinta. Seramai lebih kurang 250 orang guru baru (GSST) bakal melaporkan diri di sekolah yang telah ditetapkan selepas taklimat di Wisma Belia Kuantan selama 4 jam itu berakhir. Pastinya seribu satu perasaan tergambar pada wajah mereka. Ada wajah ceria sebab dapat sekolah mengikut pilihan hati tak kurang yang bermuram durja gara-gara over konfiden dapat balik rumah sendiri.

Saya juga adalah di kalangan mereka. Tapi bukan frust dapat jauh, Cuma frust dan terkejut dapat sekolah yang dekat sangat dengan rumah. SMK Keratong, Bandar Tun Razak, Pahang. Erm nampaknya saya kembali ke sini selepas setahun kerana pada tahun lepas saya pernah menimba pengalaman (ROS) selama 2 minggu di sini. Nampaknya saya akan habiskan 5 atau 10 tahun akan datang (mungkin juga lebih) di bumi Keratong ini. InsyaAllah jika Allah panjangkan usia saya. Mungkin ini merupakan hadiah dan berita gembira buat bonda yang telah hampir 4 bulan hidup bernomad dari Bangi ke Keratong setelah keberangkatan adik yang ketiga Muhd Azri ke Politeknik Dungun Julai lalu. Dek kerana tinggal berseorangan di rumah kerana adik-beradik lain juga masih dalam pengajian (tinggal di asrama) dan ayah yang bekerja di luar negeri (Bangi) maka teratak Felda kami terpaksa ditinggalkan. Kini sayalah yang akan menjadi penghuni tetap teratak indah kami menemani bonda tersayang.

Perasaan masuk sekolah? Berdebar ada jugak walaupun dah biasa dengan suasana dan staf2 di sini. Semuanya agak familiar dengan saya. Cuma mungkin beberapa orang guru yang agak baru (senior2 saya) yang belum saya kenali. Harap-harap saya sempat kenal semua menjelang cuti sekolah Jumaat ini. Akhir-akhir sesi persekolahan macam ni guru-guru sibuk keluar berkursus dan bermesyuarat di peringkat daerah dan sebagainya. Hari ini pun saya belum berpeluang berjumpa dengan Puan Pengetua kerana beliau bertugas di luar sehingg hari khamis. Nampaknya dua hari lagi baru dapat mengadap bos.

Pagi ini bondalah yang menghantar saya ke sekolah. Kembali tersingkap nostalgia tika mula-mula masuk sekolah dulu. Masa tu saya baru mengenal sekolah, bondalah yang menguruskan saya dari rumah sampai ke sekolah. Sekarang bonda juga menghantarkan saya ke sekolah kerana kapcai kami yang sebuah lagi pancit. Terima kasih bonda. Tiada kalimah dapat dipanjangkan bagi menggambarkan rasa syukur saya pada Allah SWT kerana msih memanjangkan usia saya sekeluarga hingga saat ini dan tiada kata dan harta yang mampu membayar harga pengorbanan bonda yang sangat cekal membesarkan dan mendidik kami sesempurna ini. Alhamdulillah..Semoga bonda dan ayahanda dirahmati Allah selalu.