Friday, August 01, 2008

ALLAH MAHA PEMURAH tulisan ABU LUQMAN

Dipetik dari akhbar Siasah keluaran 27 Julai – 2 Ogos 2008



“Ayah, tadi kawan di sekolah tanya, kalau Allah itu Maha Pemurah, apakah tanda-tandanya?” Tanya Luqman.

“Ya, Allah memang Maha Pengasih. Ada banyak tanda-tandanya. “

“Tetapi ayah hanya akan ceritakan salah satu daripada tanda-tanda tersebut” ujar saya kerana tidak mahu memeningkan kepala anak kecil ini.


Tanda-tanda kehebatan Allah SWT sebagai Yang Maha Pengasih ada di sekeliling asalkan seseorang itu mahu berfikir. Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“...Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu berfikir” (A-Nahl ayat 11).


“Antara seketul emas dan seketul makanan, yang manakah yang lebih diperlukan oleh manusia?”

“Tentulah seketul makanan sebab makanan diperlukan untuk hidup dan untuk memberi manusia tenaga. Sedangkan emas merupakan objek dagangan dan perhiasan kepada manusia.” Jawab Luqman pantas.

“Antara air dan makanan, yang manakah yang lebih diperlukan oleh manusia?” saya terus menguji Luqman.

“Tentulah air. Sebab manusia boleh hidup hanya kira-kira tiga hari tanpa air. Tetapi manusia boleh hidup tanpa makan selama berminggu-minggu bahkan berbulan-bulan.” Terang Luqman berdasarkan pelajaran Sains yang dipelajari di sekolahnya.

“Betul tu. Antara air dan makanan, yang mana satu lebih mudah didapati dan murah harganya?” tanya saya lagi.



“Tentulah air. Sebab ada banyak sumber seperti perigi, mata air, sungai dan air hujan. Kalau makanan...emm kita boleh dapatkan daripada pokok-pokok, tetapi terpaksa mengambil masa untuk menunggu buah tersebut masak.” Ujar Luqman.



Memang betul. Air lebih mudah didapati dan dalam keadaan tertentu air boleh diperolehi secara percuma. Berbanding makanan yang lebih mahal harganya dan perlu melalui proses yang lebih panjang untuk diperoleh.

“Antara air dan udara, yang mankah lebih penting kepada manusia?” saya terus menguji Luqman.

“Tentulah udara! Sebab tanpa udara manusia akan mati. Udara boleh didapati secara percuma.” Tingkah Luqman.



Jika difikirkan, tanda-tanda tersebut menunjukkan kepada kita bahawa Allah SWT itu Maha Pengasih. Semakin diperlukan, semakin mudah dan murah. Manusia lebih memerlukan makanan berbanding emas, maka makanan lebih murah berbanding emas. Beginilah seterusnya Allah menjadikan sesuatu yang semakin diperlukan semakin mudah diperoleh dan semakin murah harganya, hatta sehingga ke tahap percuma! Demikianlah tanda-tanda petunjuk kepada manusia yang mahu berfikir.