Friday, August 01, 2008

ASPEK NILAI DALAM KURIKULUM DI MALAYSIA

Mendidik merupakan satu kepuasan buat insan yang menghayati peranan pendidikan (tarbiah) dalam konteks kehidupan manusia yang bercita-cita mengembalikan masyarakat ke arah kehidupan Islam yang sebenar. Malah, sebuah peradaban yang dikatakan terbina dengan kehadiran insan yang mendidik yang digelar guru atau Murabbi. Pendidik manusia yang paling agung iaitu Rasulullah SAW juga pada awal sejarah penurunan wahyunya diseru oleh Malaikat Jibril AS supaya membaca, menunjukkan peri pentingnya ilmu dalam membina sesebuah peradaban. Selain daripada ilmu, manifestasi daripada penghayatan ilmu juga yang disebut nilai amat penting agar ilmu yang diajar digunakan sebaik-baiknya oleh pelajar dalam usaha membina masyarakat yang harmoni dan seimbang sam ada dari segi keduniaannya mahupun akhiratnya.




Hakikatnya kurikulum di Malaysia juga menitikberatkan aspek nilai dalam usaha membentuk masyarakat yang harmoni ini. Penekanan yang diberikan dalam aspek iaitu pengetahuan (knowledge), kemahiran (skill) dan tingkahlaku (attitude) menjadi tiga agenda yang saling lengkap-melengkapi dalam menjayakan kurikulum di Malaysia. Seharusnya semua pendidik di Malaysia merefleksi pengajaran masing-masing mengikut tiga aspek ini, agar pelajar yang dilahirkan tidak keciciran dalam menjayakan ketiga-tiga unsur penting ini dalam diri mereka. Ini adalah antara wadah bagi menjayakan Falsafah Pendidikan Negara yang bertujuan melahirkan insan yang seimbang jasmani, emosi, rohani dan spiritual. Dan pada saya segalanya akan menjadi lengkap jika kita kembali kepada ajaran Islam yang syumul, tanamkan Tauhid dalam sanubari pelajar-pelajar dan mereka tidak akan karam di tengah-tengah pelayaran hidup mereka nanti.





Saya teringat pesanan pensyarah Microteaching semasa di universiti dahulu mengenai pentingnya pendidikan nilai dalam kurikulum. Menurut beliau, aspek inilah yang kurang diberi penekanan oleh para guru menyebabkan para pelajar ketandusan bimbingan dan akhirnya mendekatkan diri dengan gejala sosial yang kian membarah dalam masyarakat kini. Saya bukannya mahu menyalahkan sesiapa atau menuding jari kepada mana-mana pihak. Jika difikirkan, guru juga mempunyai kekangan masing-masing dalam menjalankan hasrat murni ini. Kerja-kerja luar sekolah, kerja-kerja perkeranian, kursus-kursus dalaman dan luaran kadang-kadang mengalihkan perhatian guru-guru daripada melaksanakan tugas mendidik ini. “Macam mana lagi nak suruh pelajar-pelajar belajar. Kalau cikgu tak ada jangan harap merka nak buka buku. Banyak kursus di luar, pelajar ketinggalan, musim peperiksaan terkejar-kejar pula mahu habiskan silibus”. Itu antara rungutan yang sering saya dengar apabila berkumpul bersama guru-guru lain. Tidak lain tidak bukan di kantinlah tempat kami melepaskan tension masing-masing. Apabila kembali ke kelas masalah yang sama perlu difikirkan lagi. Alahai pelajar-pelajarku, ampunilah gurumu ini sekiranya aku tidak mendidikmu dengan baik.




Rasa tertekan ini bukanlah semata-mata memikirkan kerja yang tertangguh dek kerana banyak tugasan ad-hoc yang datang. Tetapi lebih kepada rasa bersalah kerana para pelajar tidak mendapat bimbingan yang sempurna dalam konteks pembawaan diri mereka sebagai insan yang indah akhlaknya, molek tingkah lakunya serta berjaya menjadi agen penggerak sosial yang memberi manfaat buat insan di sekeliling mereka. Begitulah, betapa besarnya tanggungjawab seorang pendidik sama ada sedar atau tidak. Semakin besar tanggungjawab, maka semakin banyaklah pengorbanan yang ditagih. Semoga Allah merahmati sekalian yang bergelar pendidik, dan semoga Allah sentiasa berikan hidayahNya buat insan yang ikhlas mendidik. Terima kasih buat guru-guru yang pernah mendidik diri ini.