Peranan muslimah dalam lapangan dakwah adalah satu perkara yang tidak dapat dinafikan lagi. Bermula seawal penurunan wahyu yang pertama kepada baginda Rasulullah SAW, sehingga kini muslimah memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam melaksanakan tanggungjawab dakwah ini. Menyoroti sirah kehidupan wanita agung, Saidatina Khadijah Khuwailid yang menjadi manusia pertama yang menyahut seruan Iman dan Islam dan kemudian mengorbankan seluruh kehidupan termasuk harta, masa dan tenaga terhadap jalan dakwah sepatutnya menjadi idola dan inspirasi seluruh muslimah dalam menjalankan tanggungjawab yang besar ini di samping tidak mengabaikan tanggungjawab utama mereka sebagai isteri dan ibu dalam sesebuah keluarga muslim (baitul muslimah).
Fenomena yang memisahkan wanita dari perjuangan Islam merupakan salah satu karat jahiliyyah yang ditinggalkan kepada seluruh kaum muslimin sehingga tanpa kita sedari ia menjadi fitnah kepada agama Islam yang syumul itu sendiri. Islam dikatakan menindas kaum wanita dan menyekat kebebasan kaum wanita untuk menjalankan tanggungjawab sosial mereka akibat daripada salah faham yang ditimbulkan ini. Justeru, selaku kaum muslimah khususnya, kemandirian kita dalam gerak kerja dakwah adalah suatu perkara yang penting bukan sahaja sebagai melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjwabkan, bahkan untuk memastikan salah faham yang berbentuk perjuangan feminisme yang menyerap ideologi liberalisme yang dipelopori oleh barat ini dapat dihentikan. Inilah cabaran terbesar buat muslimah sekalian yang mengaku bergelar seorang daieah.
Wanita sama seperti lelaki dalam melaksanakan dakwah serta menjalankan amar makruf nahi munkar.
“Kaum mukminin dan mukminat, sebahagian mereka adalah penolong bagi sebahagian lainnya. Mereka menyuruh kepada yang ma`ruf dan mencegah dari yang mungkar.”
(At-Taubah:71)
Firman Allah juga, “ Kalian adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi manusia. Kalian menyuruh kepada yang ma`ruf dan mencegah dari yang mungkar serta kalian beriman kepada Allah.”
(Ali Imran : 110)
Daripada kedua-dua firman Allah di atas, jelas menunjukkan bahawa tidak wujud sama sekali yang dikatakan “double standard” terhadap kaum muslimin kerana mereka sahaja yang diperintahkan oleh Allah untuk berdakwah dan mengaut pahala yang banyak berbanding kaum wanita kerana cerminan terhadap amal kita baik kaum muslimin mahupun muslimat di hadapan Allah adalah terkandung dalam Ayat-AyatNya seperti di atas bersandarkan kepada amal yang ikhlas.
Sepertimana yang pernah disebutkan oleh Ust Nasarudin Mat Isa, dalam sebuah artikel beliau yang bertajuk “Peranan Wanita Sebagai Daieah”, beliau menyatakan bahawa Sifat Islam sebagai Deen ul Fitrah (agama fitrah) yang datang untuk menjadi panduan kepada manusia sama ada lelaki mahupun perempuan adalah merupakan satu bukti yang nyata bahawa tanggungjawab sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini dipikul bersama oleh muslimin dan muslimat. Kebanyakan perintah-perintah yang terdapat di dalam Al-Quran adalah bersifat umum yang merangkumi lelaki dan perempuan dan Islam tidak sama sekali pun membezakan antara mereka dari segi tanggungjawab di atas muka bumi mahu pun pembalasan di akhirat nanti.
“Ajaklah mereka kepada jalan Rabb-mu dengan hikmah dan nasihat yang baik serta debatlah mereka dengan cara yang paling baik.” (An-Nahl:125)