Wednesday, July 30, 2008

GURU : KERJAYA PILIHAN ATAU PILIHAN TERAKHIR



Semasa tahun pertama saya di universiti, seorang pensyarah pernah bertanya sama ada kami (saya dan rakan-rakan sekelas) benar-benar ikhlas mahu menjadi pendidik ataupun telah ketandusan pilihan akibat keputusan peperiksaan semasa di alam pra universiti kurang memberansangkan. Bagi saya, saya benar-benar pasti dengan pilihan saya dengan mengambil bidang pendidikan sebagai kerjaya kerana semua kelapan-lapan pilihan ke IPTA saya isi dengan jurusan Pendidikan. Saya pun tidak pasti sejak bila saya memasang cita-cita untuk menjadi seorang guru...

Apa yang saya ingat, minat untuk menjadi pendidik mula tumbuh apabila saya menjadikan guru-guru saya sebagai idola. Keperibadian mereka yang mulia, bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam menyampaikan ilmu membuatkan hati saya tertawan dengan gelaran cikgu. Guru Kimia saya semasa di sekolah menengah adalah Pn Hasma dan Pn Wan Azizah. Mereka banyak menyuntik semangat dan minat saya dalam subjek Kimia sehinggalah saya mengambil bidang Pendidikan Sains (Kimia) di UPSI. Kesungguhan mereka dalam mengajar ditambah pula dengan imej Islamik yang mereka tonjolkan sangat berkesan dalam hati saya sehingga sering terngiang-ngiang nasihat mereka sampai sekarang. Kemudian, saya ditakdirkan pula belajar Kimia di matrikulasi dengan Pn Hayati sebagai pensyarah. Walaupun subjek tersebut agak sukar berbanding di peringkat SPM, berkat kesungguhan yang ditunjukkan oleh beliau saya cuba kekalkan motivasi untuk terus menguasai subjek tersebut. Ketiga-tiga mereka tidak banyak beza dari segi perwatakan dan pembawaan. Sifat keibuan yang tinggi dalam diri mereka membuatkan guru-guru saya ini tidak pernah jemu menasihati agar kami rajin berusaha. Ketiga-tiga mereka membawa imej muslimah yang baik yang sangat wajar dijadikan contoh oleh semua yang pernah bergelar pelajar mereka. Tanpa kata-kata yang banyak, hanya melalui tingkah laku sudah berjaya menyentuh hati manusia lain ke arah kebaikan. Itulah yang dinamakan dakwah bil hal.

Cita-cita untuk menjadi seorang guru pernah saya suarakan pada guru Matematik saya dahulu, En Abd Razak. Beliau juga antara guru yang komited dalam menjalankan tugas agar para pelajarnya memperoleh keputusan yang cemerlang. Sudah tentu, sebagai seorang guru beliau amat bersetuju dengan keputusan saya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan. “Welcome to the club”.. itu adalah ucapan beliau apabila mengetahui saya berjaya melanjutkan pelajaran di UPSI. Kedengarannya seperti amat mudah, tetapi hakikatnya belum saya selidiki. Berbeza halnya pula dengan guru Bahasa Arab saya yang saya panggil Ustaz Zahari. Beliau kurang bersetuju dengan keputusan itu kerana menurut beliau menjadi guru merupakan tanggungjawab yang besar serta menagih komitmen yang tinggi.

Kini saya fahami apa yang dimaksudkan oleh ustaz tersebut. Guru bukan sekadar seorang guru. Malah lebih dari itu. Mengajar adalah perkara yang mudah, tapi mendidik bukanlah suatu yang mudah. Memang benar, pelajar sekolah merupakan market dakwah yang luas tetapi adakah guru-guru menyedari dan berusaha menggunakan peluang yang mereka ada ini. Ini adalah persoalan yang saya tujukan buat diri saya sendiri. Jika dahulu, saya terdidik dalam suasana Islamik di SMKA, tetapi siapa tahu akan datang bagaimana suasana yang akan saya tempuh. Semua itu dalam percaturan Allah yang Maha Mengetahui segala yang terbaik buat hambaNya. Dan saya berharap saya akan dapat melakukan tanggungjawab saya sebagai guru yang benar-benar mendidik bukan sahaja menyampaikan ilmu. Doakan saya sahabat-sahabat...

Guru yang mendidik atau dalam bahasa Arabnya Murabbi. Bagi saya gelaran murabbi itu sangat agung dan mulia. Mendidik pelajar dari sudut ruhani, jasmani, minda dan spritual sehingga berjaya mengubah keadaan pelajarnya ke arah yang lebih baik merupakan tanggungjawab yang seharusnya digalas oleh setiap yang mengaku dirinya seorang pendidik. Apatah lagi, sebagai pendidik di Malaysia yang menjunjung Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dengan jelas menyebut pendidikan di Malaysia adalah satu usaha yang berterusan dalam memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan sepadu bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelak, rohani, emosi dan jasmani. Sehinggalah uasaha ini berjaya melahirkan rakyat Malaysia yang bertanggungjawab untuk menjamin kesejahteraan diri, masyarakat dan negara. Bukankah ini tidak jauh maknanya dengan apa yang diistilahkan sebagai Murabbi dalam sistem pendidikan Islam? Tetapi adakah saya akan mengambil perhatian serius dengan tanggung jawab yang besar ini? Tepuk dada, tanyalah Iman. Sekiranya saya telah memilih jalan ini sebagai pilihan saya, saya perlu menggalas tanggungjawabnya dengan ikhlas dan baik, bukan menjadikannya ibarat pilihan terakhir dalam kehidupan berkerjaya saya kelak.

1 comments:

Anonymous said...

Entry yang menarik, semoga Allah merahmati anda