Tuesday, July 29, 2008

HADIAH

Entri kali ini pula mengenai kisah pelajar tingkatan 4 yang saya ajar. Saya dipertanggungjawabkan oleh PK 1 untuk mengambil alih kelas beliau untuk mengajar Matematik. Walaupun pada mulanya agak ragu-ragu kerana saya mengambil bidang Kimia di UPSI, saya cuba sedaya upaya untuk menjalankan amanah yang telah diberikan. Lagipun sebagai guru pelatih, saya anggap ini sebagai latihan kerana saya sudah maklum bahawa saya tidak semestinya akan mengajar Kimia apabila posting kelak. Bergantung kepada kekosongan guru di sekolah tersebut.


Saya dimaklumkan oleh PK, kelas ini merupakan kelas terakhir dalam tingkatan. Aduh, satu lagi cabaran. Shida, rakan sejurusan saya, turut diberikan kelas tingkatan 4, juga kelas Matematik. Kelas kedua terakhir dalam tingkatan! Nasib kami tidak jauh beza, jadi kami selalu berbincang bagaimana cara nak tarik perhatian pelajar-pelajar kami untuk belajar. Kesimpulan ringkas, untuk kelas seperti ini, kami perlu banyakkan aktiviti.


Jadual kami juga tidak banyak bezanya. Jadi kami telah merancang untuk menjalankan aktiviti kuiz inter-kelas antara kelasku dan kelas Shida. Sebelum hari yang dirancang tiba, kami cuba menyetarakan LO (Learning Outcome) supaya semua pelajar di kedua-dua kelas mempunyai tahap pengetahuan yang sama. Objektif saya melaksanakan aktiviti ini adalah untuk melihat semangat berpasukan mereka dan untuk melihat prestasi mereka sebelum saya dapat membuat keputusan tentang kaedah yang sesuai untuk digunakan untuk pengajaran seterusnya.


Sebelum hari pertandingan tiba, saya dan Shida mula menyuntik kata-kata semangat pada pelajar kami supaya mereka berusaha mencapai kemenangan. Sebenarnya, tidak lain tidak bukan, pesanan tersebut hanyalah bertujuan supaya mereka mengulangkaji di rumah. Kuiz tersebut hanya sekitar sub tajuk Significant Figure dan Standard Form. Sangat mudah. “ Please do as well as you can, prove that your class also can be a winner ”..”kamu mesti menang, jangan malukan cikgu” saya berkata dalam nada bergurau.


Hari pertandingan tiba. Saya dan Shida menyediakan 3 set soalan yang setara. Ketua kelas memilih set soalan yang terdiri daripada 3 soalan dengan pecahan. Soalan dibacakan oleh kami, dan pelajar dikehendaki menjawab satu persatu soalan dalam masa yang ditetapkan secara berkumpulan (mengikut kelas). Sebenarnya saya tidak terlalu mengharapkan kemenangan dari kelas saya buat kali ini. Saya lebih berminat untuk membentuk team-building mereka supaya mereka bersatu dan lebih bersedia untuk menempuh 2 tahun penting ini sebelum mereka menentukan hala tuju masing-masing lewat zaman persekolahan. Dalam kata lain, semoga mereka menjadi ibarat sebatang tubuh yang saling lengkap-melengkapi.


Selesai menjawab soalan pertama. Kedudukan masih seri di antara kedua-dua kelas. Namun hanya segelintir sahaja pelajar perempuan yang bertungkus lumus memikirkan jawapan. Saya provoke pelajar lelaki..”Agaknye kelas 4I ni tak ade pelajar lelaki. Sebab itu, pelajar perempuan je yang selalu dapat jawab”. Masuk soalan kedua, barulah saya dapat lihat mereka mula membentuk bulatan besar dan mereka lebih peka mendengar soalan yang diberikan agar tidak melakukan kesilapan. Mereka lebih berhati-hati. Suasana pertandingan sudah mula panas dengan sorakan daripada pelajar kedua-dua kelas. Dan sudah tentu pelajar kelas saya yang menjadi penyumbang besar suasana gamat tersebut. Saya tidak hairan, kerana dalam kelas pun memang mereka banyak cakap. Saya sedikit lega melihat reaksi tersebut. Bagi saya apabila mereka sudah mula terfikir untuk menang, mereka sudah bersedia untuk bertempur. Mereka sudah menunjukkan semangat berpasukan mereka.


Soalan kedua selesai dijawab dan kedudukan masih seri. Mereka semakin berdebar-debar. Saya sebagai guru lebih lagi. Walaupun tak harapkan kemenangan, tetapi harapan tersebut muncul juga melihatkan kesungguhan mereka berbincang. Dan apabila soalan ketiga selesai dijawab, pemenangnya diumumkan. Keputusannya, kelas saya mendahului 2 markah daripada kelas lawan dan keputusan ini juga dipersetujui oleh Shida. Satu keputusan yang tidak disangka. Markah mereka dinilai berdasarkan cara kerja serta jawapan yang betul.


Bukan keputusan itu sahaja menjadi kejutan buat saya pada hari itu. Selesai sahaja sesi penyampaian hadiah, seorang pelajar lelaki kelas saya menjerit dengan kuat, “cikgu, kami dah menang. Jadi hadiahnya saya nak cikgu” . Suasana terdiam seketika, saya pula sedang sibuk memungut ABM yang berterabur di dalam dewan. Saya berpura-pura tidak mendengar teriakan tersebut dan menyuruh mereka pulang segera ke kelas kerana masa sudah tamat. Dalam hati saya berkata, “tak perlulah aku sediakan hadiah lagi buat mereka, aku sudah cukup sebagai hadiah”..Mereka sebenarnya perlukan perhatian yang lebih..Saya dan Shida melangkah menuruni bukit SMKHK pulang ke bilik guru.

0 comments: