Perkongsian bukanlah sesuatu yang mudah untuk semua orang. Walaupun saya sebagai anak sulung dalam keluarga, saya tak mengenal erti berkongsi. Saya lebih mengenal erti kekuasaan apabila saya hanya mahu didengari dan diberi perhatian oleh adik-beradik saya yang lain. Mungkin lebih sesuai diistilahkan dengan mementingkan diri sendiri. Lagipun kami hanya empat beradik, bukanlah satu bilangan yang besar. Kebanyakan masa saya akan habiskan bersama adik perempuan saya, Lin. Lin amat memahami sifat kekuasaan saya kerana Lin selalunya akan mengalah dengan saya dalam banyak hal. Berbanding dengan anak sulung yang mempunyai 9 atau 10 orang adik di bawahnya, mereka mungkin lebih memahami makna perkongsian dalam hidup mereka.
Tetapi dimensi ini berubah apabila saya memasuki alam kampus. Menjejak kaki ke UPSI bukanlah satu pilihan yang salah dalam kehidupan saya walaupun pada awalnya saya sedikit kecewa kerana saya mempunyai angan-angan untuk membuat Ijazah Sains dan Pendidikan di UKM. Mengapa? Kerana di sinilah saya bertemu dengan ramai guru dalam kehidupan saya. Merekalah orang-orang yang penting dalam mengubah kehidupan saya ke arah yang lebih baik dari sebelumnya.
Guru pertama yang mengajar saya erti perkongsian adalah senior saya yang yang saya panggil kak Fatimah. Kami berbeza dalam bidang pengajian serta semester. Kak fatimah adalah mahasiswa jurusan Penddikan Sains (Biologi) yang usia pengajiannya tua setahun dari saya. Walaupun begitu, ukhwah yang terjalin dari lubuk hati membuatkan kami berkongsi hampir semuanya semasa di kampus, baik dari sudut material, suka, duka, ilmu dan pengalaman. Tetapi adatlah, yang tua selalunya memberi saham yang lebih besar dalam perkongsian tersebut, yang sesuai saya istilahkan sebagai pengorbanan. Jadi, kak Fatimah memang banyak berkorban untuk memahamkan saya dengan erti perkongsian.
Sebenarnya kesusahan semasa hidup di kampus yang mengajar kami erti perkongsian. Jika dikenang kembali, zaman muflis dahulu kami akan beli nasi satu polisterin penuh dengan lauk sambal telur atau sambal fishball utuk kami makan berdua pagi dan petang. Modalnya hanya RM 2. Jadi kami hanya membelanjakan RM 0.50 untuk satu kali makan. Itu pun sudah menjadi hidangan paling lazat seumur hidup kami. Jika kurang bernasib baik, mee segera sudah cukup bagi mengisi perut yang kosong, sementara menunggu bantuan PAMA (Papa dan Mama). Selalunya perkara macam ni akan terjadi apabila wang pinjaman pelajaran kami lambat masuk atau wang pinjaman pelajaran sudah habis. Apabila ada majlis jamuan makan percuma selepas mesyuarat, aktiviti atau majlis-majlis lain kelolaan kolej atau universiti sudah tentunya menjadi satu rahmat buat kami.
Semasa di UPSI, saya amat bersyukur dipertemukan dengan sahabat-sahabat yang amat memahami antara satu sama lain. Hubungan kami ibarat adik beradik, sangat rapat. Selain saya dan Kak Fatimah, kami juga dikelilingi junior-junior yang kami kenal semasa matrikulasi lagi dan kami berhubung sehingga bertemu lagi di IPT. Dengan kelebihan itu, dicampur pula dengan kebanyakan masa yang kami habiskan bersama dalam usrah dan program tarbiah, membuatkan hubungan kami amat erat ibarat air yang dicincang tidak akan putus. Cubit paha kanan, paha kiri pula yang terasa. Begitulah jika boleh diibaratkan. Kami ibarat 10 beradik yang sentiasa berkongsi suka dan duka. Kerana bilangan yang ramai ini, serta tekanan-tekanan yang melanda dalam perjalanan hidup kami, kami berupaya berkongsi tawa dan tangis bersama sehingga ke hari ini. Merekalah yang banyak mengajar saya erti perkongsian dalam hidup berjuang. Apa yang kita dapat perlu dikongsi bersama yang lain, kerana kita tidak tahu bila kita akan perlu pertolongan. Dan saat kita perlukan bantuan sentiasa akan ada tangan yang membantu, menunjuk arah ke jalan yang benar. Ini sedikit-sebanyak telah mengubah diri saya menjadi individu yang lebih dewasa dan sifat mementingkan diri sendiri mula saya hilangkan dari dalam diri.
Ramadhan yang bakal menjelma ini, lebih menggamit kerinduan terhadap mereka kerana kebiasaannya kami akan berjumpa pada waktu petang selesai kuliah akademik, berusrah dan bertanya keadaan masing-masing setelah seminggu tidak berpeluang berkumpul bersama-sama. Penat serta kegusaran dalam hati hilang sebaik menatap wajah masing-masing kerana di sini kami terus membina kekuatan untuk beramal untuk Islam. Dan pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan adalah apabila bersama-sama berlari-larian meniti pintu kecil di belakang kampus menuju ke gerai favourite kami, Abuya apabila azan Maghrib mula berkumandang. Kami berkongsi rezeki lagi di sini. Ditambah pula dengan kemurahan hati Abuya membuatkan kami rasa macam nak berbuka puasa selalu di sana! Juadah yang biasa-biasa saja, kami rasakan terlalu enak kerana berkat perkongsian. Inilah yang dikatakan nikmat.
Konsep usrah yang meresap ke dalam jiwa setiap adik-beradik seagama ini amat mendalam. Menghayati tiga rukun usrah yang bermula dengan taaruf (perkenalan), tafahum (saling memahami), serta takaful (saling melengkapi) menggamit kerinduan saya pada salah seorang daripada kami yang telah dahulu pergi meninggalkan kami pada 9 Jun yang lepas. Tidak lengkap rasanya Ramadhan ini tanpa kehadirannya, namun saya sering mengingatkan yang lain dan diri sendiri hidup perlu diteruskan. Doa dan Al-Fatihah dari kami yang akan menemaninya di alam sana.
0 comments:
Post a Comment