Tuesday, July 29, 2008

PELBAGAI KECERDASAN 1

Apabila membelek semula nota-nota kuliah mengenai teori pelbagai kecerdasan yang diperkenalkan oleh Howard Gardner (1983) untuk membimbing para pelajar, saya kurang percaya. Mungkin kerana pengalaman belajar saya di alam menengah hanya tertumpu pada satu jenis kecerdasan yang dipanggil kecerdasan linguistik (bahasa), iaitu saya hanya mampu menggunakan otak untuk membaca nota, memahami, ingat dan jawab soalan. Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana setiap insan mempunyai gaya pembelajaran tersendiri. Rakan-rakan di sekolah menengah dahulu menganggap saya pintar, sebenarnya bukan pintar tetapi saya sering membuat latihan sendiri dan ingat jawapannya supaya apabila soalan peperiksaan yang mirip-mirip dengan latihan yang pernah saya buat, saya sudah bersedia untuk menjawabnya! Untuk entri kali ini saya berminat untuk berkongsi kisah seorang lagi pelajar yang amat minat melukis dan kaitannya dengan teori pelbagai kecerdasan.


Biarlah saya namakan pelajar ini dengan Ijam. Beliau adalah pelajar tingkatan 1 H dengan ranking kelas di kedudukan nombor dua dalam tingkatan. Saya rasa, mengajar kelas kedua terawal ini mudah, berbanding kelas paling akhir. Tetapi sangkaan saya ini agak meleset bagi beberapa orang pelajar dalam kelas ini pada hari pertama saya masuki. Fikiran saya tertumpu pada seorang pelajar yang kelihatan selesa bersendirian dan kurang mengendahkan persekitaran. Saya rasakan Ijam seorang yang kurang yakin berkomunikasi dengan orang lain atau dengan kata kecerdasan interpersonalnya kurang.


Sepertinya Ijam bosan dengan aktiviti memperkenalkan diri pada hari ini. Saya tidak dapat mengesan siapakah rakan yang paling rapat dengannya untuk saya merisik mengenai Ijam dengan lebih mendalam. Tetapi di hujung kelas pertama tersebut, saya dapat tahu bahawa Ijam sangat minat melukis. Jadi selepas semua pelajar beredar daripada makmal untuk kelas hari itu, saya sempat berbasa basi dengan Ijam. “Ijam, lukiskan something untuk cikgu buat kenang-kenangan”..Ijam hanya sempat membalas ok sebelum saya terkejar-kejar keluar dari makmal untuk mendaki bukit ke kelas tingkatan 4 pula.


Pada minggu seterusnya, selepas kelas berakhir Ijam menghadiahkan saya sebuah lukisan kartun dengan dialog yang menyatakan bahawa beliau pernah menghasilkan komik semasa beliau di sekolah rendah. Erm, mungkin Ijam ada masa depan dalam bidang ini, tapi prioriti perlu diberikan untuk belajar buat masa sekarang. Saya berfikir sendirian sambil berkira-kira apakah teknik yang sesuai untuk saya gunakan buat pelajar yang bernama Ijam ini.

0 comments: