Tuesday, July 29, 2008

PELBAGAI KECERDASAN 2-SAMBUNGAN

Masih lagi berkisar mengenai kisah Ijam.. entah mengapa saya sering merasa kasihan melihat Ijam yang kurang didampingi oleh rakan-rakannya yang lain. Mungkinkah kerana faktor fizikalnya yang agak besar dengan sifatnya yang pendiam telah menyebabkan dirinya terasing dari kalangan rakan-rakannya yang lain? Jadi, untuk cuba menarik perhatian rakan-rakannya terhadap kewujudan Ijam di dalam kelas, saya melantik Ijam sebagai ketua kumpulan untuk aktiviti amali. Kaedah ini sedikit mendatangkan hasil apabila saya lihat Ijam sudah memberikan sedikit perhatiannya di dalam kelas serta menunjukkan komitmen terhadap aktiviti dalam kelas.


Minggu ke tujuh di SMKHK adalah minggu hari sukan. Apabila tiba musim hari sukan, guru-guru pelatih macam kami memanglah akan jadi manusia paling sibuk. Tak tahula memang sibuk atau buat-buat sibuk! Tetapi hakikatnya dapat saya rasakan minggu tersebut merupakan minggu yang agak sukar. Pada minggu tersebut, pensyarah dari UPSI datang membuat pemerhatian pengajaran buat kali pertama ditambah pula jadual harian yang padat dengan latihan rumah sukan. Mujurlah guru-guru senior SMKHK amat prihatin dan sangat bertolak ansur dalam membahagikan tugas untuk hari sukan tersebut. Berkat kesabaran dan pertolongan rakan-rakan, Alhamdulillah saya berjaya juga menempuhi mingu sukar itu.


Selepas selesai urusan pemerhatian pengajaran tersebut, otak saya berputar ligat pula memikirkan sepanduk yang bakal dibawa semasa perbarisan rumah sukan nanti. Sepanduk yang lama sangat usang dan perlu dibuat yang baru. Mungkin sepanduk ini boleh meransang juri untuk memberi markah lebih untuk rumah kami nanti! Para pembaca mungki tertanya-tanya apakah kaitan Ijam dengan hari sukan? Nah, inilah jawapannya. Di saat-saat saya buntu memikirkan sepanduk tersebut, saya teringatkan Ijam, pelajar saya dalam kelas 1 H...Ini satu peluang, fikir saya.


Saya memujuk Ijam untuk membantu saya melukiskan gambar helang pada sepanduk perbarisan rumah kami, walau hakikatnya Ijam bukan anggota rumah kami. Ijam dengan senang hatinya setuju membantu kerana tatkala rakan-rakannya yang lain sibuk membantu guru-guru lain menyiapkan kostum perbarisan Ijam hanya mampu memandang kerana Ijam tidak dipelawa untuk menyertai mereka. Selepas mendapat pelukisnya, saya bergegas pula ke pekan Tapah untuk membeli kain putih serta cat untuk membuat sepanduk.


Seharian Ijam, saya, Shida (rakan guru pelatih saya) serta ketua kelas Ijam (Najman) yang juga merupakan ahli rumah sukan saya menyiapkan sepanduk tersebut dengan bantuan beberapa pelajar lain. Saya kagum dengan komitmen yang ditunjukkan oleh mereka. Mereka mengurung diri dalam bilik stor untuk menyiapkan sepanduk yang akan digunakan keesokan harinya. Mereka hanya keluar untuk makan (selepas saya paksa) dan keluar untuk solat. Dan hasilnya, sepanduk tersebut berjaya membawa tuah pada kumpulan perbarisan kami! Tanpa kostum yang indah berwarna-warni, rumah kami berjaya mendapat juara dalam pertandingan perbarisan! Jika mahu dibandingkan dengan persatuan unit beruniform lain, mereka lebih handal dalam keseragaman perbarisan. Nasib telah menyebelahi kami. Terasa usaha selama seminggu yang sukar ini amat berbaloi. Syukur pada Allah.


Seusai diumumkan pemenang saya cuba mencari Ijam untuk mengucapkan terima kasih. Tetapi keadaan yang sedikit kelam kabut dengan tugas saya sebagai pencatat pemenang acara trek membuatkan saya terlupa. Minggu seterusnya barulah saya berpeluang berbuat demikian pada Ijam. Saya memuji hasil kerjanya dan memuji kesungguahan serta komitmen yang diberikan. Alangkah baik jika Ijam amalkan kesungguhan ini dalam kelas, detik hati saya. Saya gembira bukan sahaja kerana kemenangan rumah kami, tapi kerana Ijam sudah mula cuba bergaul dengan rakan-rakannya dan mula menunjukkan minat dalam kelas saya! Ijam sudah mula diterima oleh rakan-rakannya. Barulah saya faham pembelajaran bukan hanya di dalam kelas semata-mata. Hari sukan tersebut berjaya membuktikan kecerdasan visual-ruang yang ada pada Ijam menjadi penyuntik semangatnya untuk belajar Sains selepas itu.


Dan sekiranya Ijam terbaca artikel ini, cikgu harap Ijam faham cikgu bukan mempergunakan Ijam untuk capai kemenangan, tapi cikgu mahu Ijam tahu bakat itu perlu terus digilap untuk bawa kemenangan yang lebih bermakna dalam hidup Ijam pada masa akan datang.

0 comments: