Tuesday, September 02, 2008

ANALOGI

Mengajar Sains kelas terakhir yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar yang baru tamat mengikuti kelas pemulihan bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi dasar kini yang mewajibkan PPSMI membuatkan otak saya sentiasa berfikir bagaimanakah teknik pengajaran yang berkesan bagi membuatkan para pelajar faham dan dapat menggunakan ilmu tersebut dalam kehidupan seharian mereka.

Saya tidak pasti sama ada ramai yang bersetuju ataupun tidak. Tetapi ini hanyalah luahan hati saya dengan pengalaman mengajar yang tidak seberapa. Pelajar lelaki Cina di kelas saya agak sukar untuk dikawal. Kadangkala rasa patah hati timbul lantaran teguran dan nasihat saya hanya dipersampahkan. Kelas yang saya ingin ceritakan ini, hanya ada dua orang pelajar lelaki Cina, namun sudah cukup untuk buat tekak saya meronta-ronta kepedihan setiap kali kelas berakhir, terutamanya apabila berlangsung sesi amali (makmal). Nama mereka hampir-hampir sama, Lee Kuan Siang dan Lee Hao Yan.

SELAMAT PAGI CIKGU-SUKAR DIUNGKAP

Walaupun mereka agak ketegak (dialek kedah) tapi kesungguhan dan minat mereka untuk belajar boleh saya puji. Bolehlah diranking kerajinan mereka di kelas yang kedua selepas pelajar perempuan asli di dalam kelas tersebut. Lee Kuan Siang umpamanya tidak pernah tidak menyiapkan kerja rumah dan menyiapkan nota. Bila tiba waktu amali dia sangat berminat untuk menjalankan aktiviti walaupun tidak tahu apa benda yang mereka nak buat. Cuma pada awalnya saya kurang menyenangi adab mereka apabila bertemu dengan guru-guru. Kadang-kadang buat tak nampak sahaja, apatah lagi mahu menyapa. Saya pernah menegur mereka berdua dengan baik. Alhamdulillah selepas itu, setiap kali bertembung di tengah jalan, Lee Hao Yan terutamanya akan menundukkan sedikit kepala tanda hormat dan menyapa “Selamat Pagi Cikgu”. Itpun sudah cukup untuk melembutkan hati saya.

Yang sedikit bermasalah adalah Lee Kuan Siang. Sebenarnya bukanlah bermasalah besar, cuma sikapnya yang suka mengganggu ketenteraman rakan-rakan yang lain dengan dialek Cinanya yang kurang difahami kadangkala boleh menimbulkan pertikaman lidah antara mereka. Maklumlah, pelajar tingkatan satu. Agak kebudak-budakan.


ANALOGI TIMBUL SECARA SPONTAN

Pada hari itu, saya agak sibuk menanda kertas PEKA. Jadi persediaan saya agak kurang untuk mengajar tajuk Matter. Selalunya saya akan gunakan slide powerpoint sebagai alat bantu mengajar pada waktu kecederaan seperti ini, tetapi kebetulan pula kelas mereka baru ditukarkan ke lokasi yang agak jauh daripada makmal membuatkan saya berfikir dua kali untuk mengarahkan mereka ke makmal. Mesti memakan masa yang agak lama. Jadi, pada hari tersebut saya hanya mengajar di adalam kelas, menggunakan kaedah tradisional. Marker dan whiteboard.

Selalunya, untuk mententeramkan kelas itu, saya akan menulis atau melukis nota di papan putih, biarkan mereka menyalin nota dan kelas akan sunyi seketika kerana mereka ada kerja yang perlu disiapkan. Jadi, tidak perlulah saya membazirkan suara saya menjerit meminta mereka diam. Sementara itu, sempat jugalah saya menghabiskan kerja-kerja menanda PEKA. Taktik tersebut saya dapat kesan setelah beberapa kali mengajar kelas itu. Walaupun gaya pengajaran tersebut lebih berpusatkan guru, saya puas hati kerana mereka akan mendengar arahan saya dengan jelas dan baik.

Setelah beberapa minit memberikan masa untuk menyalin nota, maka saya pun mulakanlah penerangan saya mengenai Matter. Bermula dengan definition of matter, seterusnya memberikan pelbagai contoh agar mereka lebih faham bagaimana dikatakan jirim terdiri daripada zarah-zarah yang halus serta terpisah (tiny and discrete particles) dan jirim mempunyai jisim (matter has mass). Kemudian, mulalah penerangan saya mengenai jirim boleh berada dalam tiga keadaan iaitu pepejal, cecair dan gas (solid, liquid and gas). Seperti biasalah, untuk kelas-kelas seperti ini saya perlu memberi penerangan berulang-ulang kali agar mereka lebih memahami. Bermula dengan penerangan dalam bahasa Inggeris diikuti pula dengan penerangan dalam Bahasa Melayu.

Memandangkan muka mereka yang blur tapi buat-buat faham tersebut membuatkan saya terasa kesian bercampur rasa lucu. Agaknya macam nilah dulu sewaktu saya jadi pelajar. Apabila cikgu tanya faham ke tak, dengan cepat jawab FAHAM, hakikatnya dalam otak masih bersimpang siur. Bila balik asrama mulalah berfikir macam manalah nak faham balik apa yang cikgu ajar.. untung ada rakan-rakan yang banyak membantu. Tiba-tiba timbul idea spontan untuk membuat analogi bagi membantu mereka agar lebih faham. Faktanya mudah sahaja, nak bagi mereka ingat yang perbezaan bentuk fizikal pepejal, cecair dan gas adalah disebabkan perbezaan susunan zarah di dalamnya.

TERKENA

Susunan zarah pepejal yang rapat antara satu sama lain akibat daya tarikan antara zarah yang kuat menyebabkan pepejal mempunyai rupa bentuk yang tetap, tidak mudah berubah. Saya pun buatlah cerita, kalaulah kamu sekelas berkerjasama, saling bantu membantu antara satu sama lain serta berusaha bersama-sama sudah tentu kamu akan jadi sekuat pepejal. Tidak mudah diperkotak katikkan oleh orang lain. Tapi alangkah malangnya jika ahli kelas kamu jadi selemah zarah cecair (liquid) atau lebih teruk zarah gas kerana akibat daripada tidak berkerjasama dan tidak saling bantu membantu, mereka tidak mempunyai bentuk yang tetap, suka mengikut bentuk bekas yang mengisi mereka. Jadilah seperti orang yang tidak kuat pendirian, suka mengikut orang lain. Jika orang lain buat jahat, kita pun ikut sama nak buat jahat. Begitulah syarahan saya yang cukup pedas terasa jika ada yang makan cilinya. Memang saya tujukan buat beberapa pelajar yang agak bermasalah kerana suka bercampur dengan rakan-rakan yang bermasalah.

Nampaknya teknik ini berkesan, mereka dah mula ingat perbezaan susunan zarah dalam pepejal, cecair dan gas serta mengaitkannya dengan bentuk fizikal. Jadi sebelum kelas berakhir, saya cuba menguji semula adakah mereka ingat lagi fakta tadi. Nampaknya cerita itu melekat dalam fikiran mereka. Tapi ada suatu hal yang tak saya duga, bila saya buat kesimpulan..saya bertanya..kamu mesti jadi macam?...mereka jawab solid..tapi jangan jadi macam?...mereka pun jawab Lee Kuan Siang. Terpinga-pinga Lee Kuan Siang mendengar namanya disebut. Alahai dia terkena rupanya. Bukan niat saya pun nak mengenakan dia.