Tuesday, September 02, 2008

SAAT YANG PASTI


BILA WAKTU TELAH BERAKHIR-OPICK-

BAGAIMANA KAU MERASA BANGGA
AKAN DUNIA YANG SEMENTARA
BAGAIMANAKAH BILA SEMUA
HILANG DAN PERGI MENINGGALKAN DIRIMU

BAGAIMANAKAH BILA SAATNYA
WAKTU TERHENTI TAK KAU SEDARI
MASIHKAH ADA JALAN BAGIMU
UNTUK KEMBALI MENGULANGKAN MASA LALU

DUNIA DIPENUHI DENGAN HIASAN
SEMUA DAN SEGALA YANG ADA
AKAN KEMBALI KEPADANYA

BILA WAKTU TELAH MEMANGGIL
TEMAN SEJATI HANYALAH AMAL
BILA WAKTU TELAH TERHENTI
TEMAN SEJATI TINGGALLAH SEPI

Sayu hati bila menghayati bait-bait lirik lagu nyanyian OPICK ini. Saya benar-benar tersentuh, tatkala pertama kali mendengar lagu ini secara tak sengaja dalam sebuah drama melayu. Betul-betul mengingatkan kepada kematian yang bakal menjemput semua yang bergelar makhluk Allah. Dan kerana manusia dikurniakan akal fikiran, maka dimestikan untuk kita mengingat kematian sebagai salah satu cara untuk mengekalkan dan meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah, Tuhan Yang Maha Berkuasa di atas segala sesuatu.

Kehilangan demi kehilangan berlaku dalam kehidupan kita. Segalanya adalah sebagai peringatan buat kita yang masih hidup supaya terus beribadah kepadaNya, melakukan cukup persediaan agar kita pulang ke pangkuanNya dengan husnul khatimah.

Dua tahun ini menyaksikan kehilangan insan-insan yang amat rapat dengan saya dan membuatkan hati sentiasa teringatkan mereka. Bermula dengan pemergian arwah Pak Su, bapa saudara saya yang meninggal dalam usia yang cukup muda (24 tahun) pada akhir tahun lepas. Allahyarham yang merupakan teman sepermainan saya semasa kecil kerana jarak usia yang tidak banyak beza. Tiada jurang usia antara kami, tetapi Allah memanggilnya terlebih dahulu.

Kemudian arwah nenek pula menyusul pada bulan Mac yang lalu, betul-betul malam semasa rakyat Malaysia sibuk menunggu keputusan pilihanraya umum yang lepas. Hati saya lagi ralat kerana seminggu sebelum itu, saya pernah berjanji akan menjaganya selepas pilihanraya (kebetulan waktu cuti sekolah). Saya sangat rapat dengan arwah nenek kerana pernah tinggal selama setahun dengan arwah semasa sekolah rendah dahulu. Beliaulah yang tak pernah jemu mengejutkan saya bangun awal pagi untuk ke sekolah, menyediakan air mandiam suam sebab saya takut nak mandi pagi dulu, dek kedinginan air perigi. Begitulah pengorbanan nenek. Sekarang segalanya hanya jadi kenangan manis saya diiringi doa agar Allah sentiasa merahmati arwah nenek.

Terakhir adalah pada 9 Jun lalu, kehilangan adik seusrah, Allahyarham Suhaimi.. Kehilangan yang masih terasa hingga kini..selepas kehilangan barulah terasa mahu menghargai..begitulah yang selalu terjadi dalam kehidupan kita. Saya berharap agar kita tidak akan menyesal dengan kehilangan masa-masa sihat yang Allah kurniakan buat kita untuk kita hargai dan manfaatkan sepenuhnya.

Selamat berpuasa buat semua teman-teman. Semoga Ramadhan ini bakal menyucikan diri kita jasmani dan rohani supaya perjalanan hidup kita yang bakal mendatang lebih baik daripada sebelumnya. Al-fatihah buat mereka..AL-FATIHAH