Thursday, September 11, 2008

Elak Marah Semasa Puasa


I’JAZ MENEGAH ORANG YANG BERPUASA DARIPADA MARAH?

Perasaan marah adalah lumrah dalam kehidupan seorang manusia. Seseorang akan berasa marah sekiranya sesuatu keadaan berlaku tidak seperti yang diharapkan atau dijangkakan. Terdapat pelbagai reaksi fizikal yang berlaku ketika marah yang berbeza bergantung kepada individu. Reaksi fizikal yang saya katakan tadi boleh jadi dengan menangis, perubahan air muka secara mendadak, muka menjadi merah, berdebar-debar atau lebih teruk lagi perasaan marah boleh memandu emosi kita terhadap perbalahan. Semua ini berlaku lantaran perubahan hormon yang berlaku akibat rasa marah tersebut.

Untuk entri kali ini saya suka untuk berkongsi maklumat dengan pembaca sekalian mengenai alasan mengapa Rasulullah SAW amat menekankan terhadap mereka yang berpuasa supaya menahan daripada punca-punca kemarahan dan perbalahan sebagaimana yang disebutkan dalam hadis baginda daripada Abi Hurairah yang bermaksud “ Apabila hari puasa seseorang di kalangan kamu, maka janganlah dia bercakap lucah, janganlah dia menjerit-jerit. Jika seseorang memaki atau menyerangnya maka hendaklah dia berkata : Aku berpuasa”. Di sini saya petik sebuah hujah saintifik mengapa orang-orang yang berpuasa ditegah daripada marah, berkata-kata lucah dan mendekati punca perbalahan daripada sebuah buku yang bertajuk “PUASA Hukum dan Hikmah Menurut Islam dan Fakta Sains Moden” karangan As-Syeikh Abdul Majid Az-Zidani Hafazahullah terbitan Teguh Iman Resources.

Kajian saintifik mendapati bahawa orang-orang yang berpuasa sekiranya diselubungi kemarahan lalu dia bereaksi dengan penuh ketegangan akan meningkatkan perembesan hormon-hormon adrenalina di dalam darah dengan pertambahan yang besar iaitu mencecah 20-30 kali ganda lebih daripada kadar normal. Sekiranya ini berlaku pada waktu pagi iaitu ketika proses penghadaman makanan sedang berlaku (selepas bersahur), maka sistem penghadaman makanan akan terganggu.

Ini adalah kerana adrenalina bekerja untuk merehatkan otot-otot licin di dalam sistem penghadaman, mengurangkan pengecutan hempedu serta berfungsi untuk menyempitkan saluran darah periferal dan meluaskan saluran darah koronari. Pertambahan hormin ini akan menaikkan tekanan arteri darah dan menambahkan kuantiti darah ke jantung serta menambahkan bilangan degupan jantung. Oleh sebab itu, orang yang sedang marah degupan jantungnya akan menjadi lebih kencang dan kadangkala muka akan menjadi kemerahan.

Sekiranya berlaku perbalahan atau perasaan marah pada waktu tengah hari ke atas iaitu pada jangka masa proses penyerapan makan sedang berlaku, maka simpanan glikogen di dalam hati akan terurai dan protein tubuh akan terurai menjadi asid amino serta asid-asid lemak akan lebih banyak teroksida. Semua itu akan meningkatkan tahap glukosa dalam darah, lalu ia akan terbakar untuk membekalkan tubuh dengan tenaga yang akan digunakan dalam perbalahan atau pertengkaran.

Dengan ini, tenaga akan digunakan tanpa kawalan dan sebahagian glukosa akan hilang sebagai air kencing lebih daripada kadar biasa. Kesan daripada itu, tubuh akan kehilangan sejumlah tenaga aktif yang penting tanpa sebarang faedah yang boleh digunakan semula oleh tubuh. Pengoksidaan asid lemak yang banyak juga berkebarangkalian akan menghasilkan jisim-jisim keton yang berbahaya pada darah.

Kesan daripada pertambahan hormon adrenalina yang melampau di dalam darah adalah seperti berikut :




  • Keluarnya jumlah air yang banyak daripada tubuh melalui penghasilan air kencing sedangkan tubuh memerlukan sejumlah air yang cukup lantaran kita sedang berpuasa.


  • Meningkatkan tahap metabolisme asas ketika marah hasil daripada peningkatan hormon adrenalina dan pengerasan otot.


  • Boleh menyebabkan kegagalan jantung atau mati mengejut pada sesetengah individu yang berkebarangkalian untuk itu.


  • Boleh mengakibatkan kegagalan otak pada mereka yang menghidap tekanan darah dan pengerasan arteri.


  • Menambah pembentukan kolestrol daripadaa protein lemak berketepuan rendah.

Oleh itu, adalah lebih baik kita menjauhi daripada punca-punca kemarahan dan perbalahan yang secara jelas boleh mengundang padah kepada kesihatan tubuh badan kita sendiri. Apalah salahnya kita menambahkan membaca Al-Quran dan berzikir bagi mengelakkan diri terjerumus dalam pertengkaran yang hanya merugikan. Sesungguhnya Ramadhan adalah madrasah tarbiyyah yang ampuh buat orang-orang yang sentiasa menanti-nanti kehadirannya dan menghayati suruhan Allah ini.